5 Disember 2022 – Akademi Binaan Malaysia (ABM)
bersama CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) Wilayah Selatan di bawah kelolaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini meraikan kejayaan seramai 140 orang graduan ABM Wilayah Selatan dan CIDB Tech dengan penyampaian Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) CIDB pada Majlis Graduasi ABM & CIDB Tech, sekaligus mengiktiraf para pelatih ini sebagai tenaga pekerja mahir.

Bersempena Majlis Graduasi ini, Timbalan Ketua Eksekutif 1 CIDB Malaysia, Megat Kamil Azmi Megat Rus Kamarani telah berkesempatan untuk menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang kepada 12 orang graduan dari tred-tred yang berlainan. Seorang alumni ABM Wilayah Selatan, Wan Mohd Faddly Bin Wan Mohd Zaid, 25 tahun turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan. Dia kini bekerja dalam bidang oil dan gas sebagai Supervisor Insulation. Dalam usia yang muda, dia mempunyai pendapatan yang tinggi dengan berbekalkan sijil SKKP CIDB pada awal kerjayanya.

Dalam majlis itu juga, lima (5) organisasi dan syarikat menerima Sijil Penghargaan atas kerjasama mereka dalam usahasama menawarkan tajaan latihan kemahiran pembinaan yang berkualiti serta penempatan pekerjaan berimpak tinggi kepada masyarakat tempatan dan komuniti industri. Mereka adalah Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI), Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB), Kopeja Oil & Gas Sdn. Bhd. (KOPEJA), dan Persatuan Kontaktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMM).