Skip to main content

SINTOK, KEDAH, 30 Januari 2024 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus memberi sokongan berterusan dalam melatih pekerja mahir binaan dengan memperuntukkan RM232 juta bagi tahun 2018 hingga 2023. Peruntukan ini semakin meningkat ke RM55 juta bagi tahun ini dalam memastikan pekerja binaan mendapat latihan kompetensi yang sewajarnya dalam bidang kemahiran.

Lebih daripada 80,000 pekerja mahir telah berjaya menamatkan latihan dan memperolehi Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang membolehkan mereka bekerja terus dalam industri pembinaan.

CIDB Malaysia menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) menawarkan tajaan kepada belia tempatan yang ingin menceburi lebih daripada 100 tred kemahiran pembinaan yang merangkumi bidang Jentera Berat, Kerja Bangunan, Kimpalan, Mekanikal dan Elektrikal, Architectural Drafting, Blasting & Painting dan Industrial Building System (IBS).

Selain itu, CIDB mendepani revolusi pendigitalan dalam latihan pembinaan dengan memperkenalkan teknologi terkini seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan drone. Dalam ucapan perasmian di Majlis Graduasi ABM dan CIDB Technologies Wilayah Utara 2024, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria menekankan komitmen CIDB dalam memastikan graduan TVET pembinaan memahami dan menggunakan teknologi terkini.

Seramai 200 pelatih termasuk 13 pelatih cemerlang telah diraikan semasa majlis tersebut. Mereka adalah pelatih daripada 12 tred (kategori) dalam latihan kompetensi kemahiran pembinaan membabitkan kluster bidang bangunan, IBS, Operasi Kren, Mekanikal dan Elektrikal, Kimpalan dan Blasting & Painting.

Dalam acara puncak Majlis Graduasi ini, beliau telah menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang, Anugerah Ikon TVET Pembinaan, Sijil Khas “Special Mention”, dan Sijil Penghargaan Rakan Industri.

Dua orang alumni terpilih, Muhammad Nurhasifi Yusof, 37, dan Muhammad Asri Abu Bakar, 33 telah dinobatkan sebagai Anugerah Ikon TVET Pembinaan. Sementara itu, Muhammad Habibullah Mohd Yusuff telah memperoleh Sijil Khas “Special Mention”.

Ketiga-tiga individu ini jelas mencerminkan semangat kegigihan dan kesinambungan pembangunan kemahiran dalam industri pembinaan. Dengan memiliki Sijil SKKP, dua individu ini telah memperolehi pendapatan yang lumayan. Nurhasifi sekarang berjaya sebagai usahawan jentera berat manakala Muhammad Asri pula kini mencapai kejayaan sebagai Safety Officer dan Scaffolding Inspector.

Manakala Habibullah (24 tahun), telah menjadi wakil tunggal CIDB yang menyertai barisan terbaik Malaysia di Pertandingan World Skills di Abu Dhabi dan berjaya merangkul Medallion of Excellence dalam kategori Refrigeration and Air Conditioning.

Selain itu, tiga (3) rakan industri telah menerima sijil penghargaan daripada CIDB Malaysia sebagai penghargaan dalam menyokong dan mendorong perkembangan kemahiran serta pertumbuhan industri pembinaan di Malaysia. Rakan-rakan industri ini telah memberikan sijil kelayakan, peluang pekerjaan dan program kebajikan kepada pelatih ABM. Antara syarikat yang mendapat penghargaan termasuk, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Intramas Sdn. Bhd., dan Shijiru Sdn. Bhd.

Turut hadir pada majlis tersebut, Penasihat Undang-undang CIDB Malaysia, Tuan Haji Abdul Razak Husin, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Encik Supian Musa, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Encik Mohd Nazri Hj Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies, Encik Mohd Hafiz Dasahi yang turut memberikan sokongan dan penghargaan kepada pencapaian graduan.

Laporan berita dari media tempatan Bernama, Utusan, Malaymail, Selangor Journal, dan Astro Awani.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.