Makmal Kerja Raya dilengkapi fasiliti untuk pengujian Railway Sleepers dan Railway Bearers
KUALA LUMPUR (21 Januari 2025) – Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM), yang diuruskan oleh Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), sebuah institut di bawah CIDB Malaysia, kini dilengkapi dengan fasiliti untuk menjalankan ujian penuh produk Railway Sleepers dan Railway Bearers yang digunakan dalam industri pembinaan rel di Malaysia. Fasiliti ini telah siap pada tahun 2023, dan CREAM berhasrat untuk memperluaskan lagi pengujian rel MKRM yang merangkumi semua komponen rel seperti trek, fastener, welded joint, dan keseluruhan sistem rel.
Pencapaian terkini MKRM termasuk usaha untuk meluaskan skop akreditasi (Extension of Scope – EOS) di bawah piawaian antarabangsa MS ISO/IEC 17025:2017. Ia melibatkan penambahan sebanyak dua belas (12) skop akreditasi yang baru, merangkumi produk seperti Precast Concrete Rail Sleepers, besi dan keluli, perancah (scaffoldings), keluli tetulang (reinforcement bar), dan wire mesh. ISO/IEC 17025:2017 adalah satu standard antarabangsa yang diterbitkan oleh International Organization for Standardization (ISO) dan International Electrotechnical Commission (IEC) yang menetapkan panduan mengenai bagaimana badan pengujian (testing bodies) seperti CREAM boleh memastikan perkhidmatan mereka mematuhi tahap kualiti dan kecekapan yang tinggi.
Selain menjadi badan pengujian, CREAM juga merupakan sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan Pensijilan dan Pemeriksaan produk. Dengan pengalaman hampir 10 tahun, Perkhidmatan Pemeriksaan CREAM (CREAM Inspection Services) telah menjalankan lebih daripada 500 aktiviti pemeriksaan dan persampelan di gudang, kilang, dan lokasi lain, baik di dalam mahupun luar negara. Tujuan utama pemeriksaan dan persampelan ini adalah untuk memastikan bahan-bahan tersebut mematuhi keperluan Jadual Keempat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520). CREAM Inspection Services secara rasmi menerima akreditasi MS ISO/IEC 17020:2012 daripada Jabatan Standard Malaysia pada 12 Disember 2024. Ini melengkapkan CREAM sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan teknikal menyeluruh kepada industri pembinaan, berfungsi sebagai Badan Pemeriksaan, Pengujian, dan Pensijilan produk di bawah tiga skop akreditasi, iaitu MS ISO/IEC 17020, MS ISO/IEC 17025, dan MS ISO/IEC 17065.
“Dengan akreditasi ini, CREAM dapat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan produk sebelum produk tersebut diuji, diperakui dan diluluskan oleh badan kawal selia seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa tempatan lain. Ini memberikan keyakinan dan kecekapan yang lebih besar kepada pelanggan dalam proses pemeriksaan mereka”, kata Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya semasa sesi lawatan rasmi beliau ke MKRM dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah serta CIDB Technologies Sdn. Bhd.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Puan Zainora Zainal, Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah, Dr Rozaimi An, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies Sdn. Bhd., Encik Mohd Hafiz Dasahi dan Pengurus Kanan Bahagian Pengujian CREAM, Encik Ahmad Hazim Abdul Rahim.
Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengadakan lawatan ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah untuk menyaksikan fasiliti terkini di ABM, termasuk bengkel Simulator Jentera Berat yang merupakan sebahagian daripada usaha mendigitalisasi latihan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pembelajaran praktikal pelatih. Delegasi turut dibawa melawat bengkel kimpalan, sebahagian daripada inisiatif CIDB Malaysia yang dilaksanakan oleh CIDB Technologies, bertujuan memperkukuh kemahiran tenaga kerja pembinaan dalam bidang teknikal yang kritikal.
Menurut statistik sehingga Disember 2024, bagi program melibatkan belia dan personel binaan, ABM Wilayah Tengah telah melatih seramai 65,235 peserta, manakala CIDB Technologies mencatatkan seramai 7,823 peserta. Data ini merangkumi pencapaian dalam pelbagai tred kemahiran pembinaan seperti Crane Operator, Scaffolding, Welding, Blasting and Painting, dan banyak lagi.
Bagi pertandingan WorldSkills, ABM Wilayah Tengah telah menghantar seorang wakil dalam bidang Plumbing & Heating untuk mewakili Malaysia di pertandingan WorldSkills ASEAN Philippines 2025, yang akan berlangsung pada 20 – 21 Ogos 2025 di Manila. Sementara itu, CIDB Technologies turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila wakil mereka memenangi pingat gangsa dalam kategori Welding di pertandingan akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) yang berlangsung di Johor pada tahun lepas.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.cidb.gov.my.
Muat turun versi PDF disini.
Mengenai CIDB Malaysia
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.
Mengenai MKRM
Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) ialah sebuah makmal pengujian di bawah Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), yang ditubuhkan pada tahun 2009. Pada tahun 2012, MKRM telah memperoleh akreditasi MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia, sekaligus mengukuhkan keupayaannya dalam menyediakan perkhidmatan ujian yang berkualiti dan diiktiraf antarabangsa. MKRM kini beroperasi di tiga lokasi, iaitu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, serta cawangan di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah
Akademi Binaan Malaysia (ABM) ditubuhkan pada tahun 1997, merupakan pusat penilaian dan latihan CIDB Malaysia. Matlamat ditubuhkan adalah memenuhi keperluan bagi pembangunan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja binaan. ABM memberi tumpuan kepada melengkapkan personel binaan dengan kompetensi yang sesuai mengikut standard oleh industri.
Mengenai CIDB Technologies Sdn Bhd
CIDB Technologies Sdn Bhd merupakan pusat latihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh CIDB Malaysia dengan kerjasama CIDB Holdings Services Sdn Bhd. Fokus utama CIDB Technologies adalah menyediakan Latihan teori dan praktikal dalam bidang pembinaan, minyak dan gas bagi memenuhi keperluan industri.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:
CIDB Malaysia
Noraini Fadzil noraini.fadzil@cidb.gov.my, 03-6206 7119
Muhammad Nurhan Shafik shafik@cidb.gov.my, 03-6206 7129
CREAM
Intan Diyana Musa intan.diyana@cream.my, 03-2779 1479
Ahmad Hazim Abdul Rahim hazim@cream.my, 03-9212 0165
ABM Wilayah Tengah
Aswat Bin Ahmad aswat@cidbabm.com.my, 03-9200 2008
CIDB Technologies Sdn Bhd
Arwin Bin Yac’cob arwin@cidbtech.com.my, 03-2332 8500