Skip to main content

TERENGGANU (6 MEI 2025) –  Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) dan anak syarikatnya iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur serta CIDB Technologies (CIDB Tech) Wilayah Timur di Terengganu menganjurkan Pertandingan Pencarian Bakat Refrigeration and Air-Conditioning (RAC) yang bertujuan mencari dan mengasah bakat baharu dalam bidang penyaman udara dan penyejukan, yang merupakan antara bidang kemahiran kritikal dalam industri pembinaan dan perkhidmatan teknikal.

Menurut statistik sehingga Disember 2024, ABM Wilayah Timur telah melatih seramai 43,764 pelatih dalam program-program belia dan personel binaan. Manakala CIDB Technologies pula merekodkan seramai 10,295 pelatih dalam bidang-bidang berimpak tinggi seperti pemasangan perancah (scaffold), kimpalan (welding), gas pipe fitter, gas pipe insulation dan mechanical fitter.

“Hari ini kita merasa sangat bertuah kerana saya dimaklumkan bahawa ABM Timur sedang menjadi Tuan Rumah bagi Pertandingan Khas Bidang Refrigeration & Air Conditioning (RAC) yang bertujuan mencari peserta muda yang berpotensi dan berkemahiran tinggi untuk mewakili negara Malaysia ke pertandingan Worldskills peringkat Asia di Chinese Taipei pada bulan November 2025 nanti,” ujar Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Dalam usaha memperluas peluang pembangunan kemahiran kepada golongan belia, ABM Wilayah Timur turut bekerjasama rapat dengan beberapa agensi melalui program tajaan latihan, antaranya:

  • Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) – penajaan 30 belia bagi latihan tred Scaffolding Erection dan Gas Pipe Insulation;
  • Yayasan Pendidikan MAIDAM – penajaan 36 belia untuk latihan dalam tred Scaffolding Erection dan Gas Pipe Insulation;
  • Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) – penajaan 19 belia untuk mengikuti latihan dalam tred Scaffolding Erection dan Mechanical Fitter; serta
  • Yayasan Pahang Advance Skills – penajaan 9 belia dalam bidang Steel Frame Erection & Fabrication dan Hydraulic Excavator.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini telah melakukan lawatan rasmi ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur dan CIDB Technologies (CIDB Tech) Wilayah Timur di Terengganu. Lawatan ini turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Puan Zainora binti Zainal, bersama barisan pegawai-pegawai Kementerian Kerja Raya, Pengurusan Tertinggi CIDB serta Kumpulan CIDB Holdings.

Lawatan dimulakan dengan pembentangan mengenai ABM oleh Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Timur, Encik Ahmad Kamil bin Yusof yang menerangkan peranan ABM dalam memperkukuh kemahiran tenaga kerja industri pembinaan, khususnya dalam bidang minyak dan gas. Delegasi turut dibawa meninjau kemudahan latihan seperti bengkel Gas Pipe Insulation, Mechanical Fitter, Scaffold, Welding dan Steel Structure, yang menjadi tumpuan utama pembangunan kemahiran di ABM Wilayah Timur.

Delegasi turut melawat pejabat CIDB Tech yang berperanan untuk memperkukuh kemahiran teknikal tenaga kerja dalam industri pembinaan serta minyak dan gas di Malaysia Timur dan melihat secara langsung kemudahan latihan dalam bidang Welding, Blasting and Painting serta Non-Destructive Testing (NDT).

Bagi tahun 2025, ABM Wilayah Timur merancang untuk terus memperkukuhkan program pembangunan kemahiran dalam tred kritikal seperti Gas Pipe Fitter, Scaffolding, Air-conditioning, dan Electrical. CIDB Technologies pula akan memperluaskan program-program latihan berkualiti dalam bidang minyak dan gas, disokong oleh pengiktirafan antarabangsa seperti ISO 9001, ISO 37001 dan ISO 17024.

ABM dan CIDB Tech juga giat menjalinkan kolaborasi strategik bersama pemain industri dan agensi berkepentingan bagi memastikan pelatih yang tamat latihan dilengkapi dengan kemahiran kompeten, seiring keperluan sebenar industri.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.cidb.gov.my.


Mengenai CIDB Malaysia

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.


Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur)

Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur adalah pusat latihan tenaga kerja mahir dalam industri pembinaan yang memberikan fokus kepada latihan praktikal dalam pelbagai bidang pembinaan seperti teknologi struktur, mekanikal dan elektrik. Peranan ABM dalam menyediakan tenaga kerja mahir bagi menyokong projek infrastruktur negara.


Mengenai CIDB Technologies Sdn Bhd

CIDB Technologies Sdn Bhd merupakan pusat latihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh CIDB Malaysia dengan kerjasama CIDB Holdings Services Sdn Bhd. Fokus utama CIDB Technologies adalah menyediakan Latihan teori dan praktikal dalam bidang pembinaan, minyak dan gas bagi memenuhi keperluan industri.


Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

CIDB Malaysia
Noraini Mohd Fadzil – noraini.fadzil@cidb.gov.my, 03-6206 7119
Muhammad Nurhan Shafik – shafik@cidb.gov.my, 03-6206 7129

ABM Wilayah Timur
Nik Arifin Nik Mustapha – nikarifin@cidbabm.com.my, 09-681 8327

CIDB Technologies Sdn Bhd
Arwin Bin Yac’cob – arwin@cidbtech.com.my, 03-2332 8500