Sempena Minggu TVET Negara 2022 yang telah diadakan pada 20 Jun 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, seramai 10 ikon daripada 10 Kementerian telah dinobatkan sebagai Wira TVET Negara bagi tahun 2022.
Di bawah Kementerian Kerja Raya, Mohd Hafiz Md Zahar telah dipilih mewakili kementerian bagi menerima anugerah penghormatan sebagai Wira TVET Negara yang telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.
Hafiz merupakan alumni ABM Wilayah Johor pada tahun 2007 bagi bidang elektrikal. Beliau pernah menerima Anugerah Ikon TVET Malaysia pada tahun 2017. Beliau merupakan Juru elektrik yang kompeten dan berpengalaman lebih dari 15 tahun dalam industri. Kini beliau adalah Pengarah kepada syarikatnya sendiri iaitu , Ideamech Resources Sdn Bhd dan juga telah membuka beberapa buah anak syarikat dibawah kelolaanya.
Sebagai mengenang jasa beliau kepada ABM , beliau telah membuka peluang pekerjaan kepada bekas-bekas pelatih ABM sebagai pekerja beliau. Sehingga kini, 60% pekerjanya adalah bekas pelatih ABM . Selain itu , beliau juga terlibat dengan program-program ABM sebagai penceramah bagi menarik minat belia menceburi bidang kemahiran pembinaan. Selepas membuat saringan pemilihan WIRA TVET , KKR telah memutuskan beliau mewakili kementerian sebagai penerima anugerah tersebut.
Minggu TVET Negara (MTN) 2022 merupakan satu perencanaan promosi tahunan yang memberi peluang kepada masyarakat untuk mendampingi, menghayati dan menyokong agenda TVET Negara. Tema MTN tahun ini adalah ‘TVET Pilihan Keluarga Malaysia’. ABM di bawah KKR juga terlibat dengan membuka booth dan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang minggu itu.